Followers

tules3!! free...:P


ShoutMix chat widget

QshOt INFO

MANUSIA PALING KERDIL DIDUNIA

MUNGKIN dia hanya lebih tinggi sedikit daripada botol kaca. Namun Junrey Balawing sudah bersiap sedia untuk memecahkan rekod dunia. Remaja belasan tahun itu dengan ketinggian hanya 55.88 sentimeter (22 inci) akan dimahkotakan dengan gelaran ‘lelaki paling kerdil di dunia’ tidak lama lagi.

Junrey yang berasal dari Zamboanga del Norte di Filipina berusia 17 tahun, tetapi saiznya sama dengan kanak-kanak berumur satu tahun. Dan apabila dia meraikan ulang tahun kelahirannya ke-18 Jun depan, dia dijangka kurang 12.7 sentimeter daripada pemegang Rekod Dunia Guinness. Meskipun sukar berjalan dan tidak boleh berdiri lama, Junrey tidak sabar-sabar menanti hari dia akan memakai mahkota.

“Jika saya orang paling kecil di dunia, saya akan seronok,” katanya.

Ibunya, Concepcion, 35, berkata dia menyedari sesuatu yang tidak kena apabila Junrey mencapai usia dua tahun tetapi tidak ada doktor yang boleh membantu.

“Dia selalu sakit, kerana itu kami membawanya berjumpa doktor tetapi mereka juga hairan,” katanya.

Apabila Junrey berusia 12 tahun, keluarganya membawanya semula ke hospital tetapi hanya dinasihatkan supaya dia diberi lebih banyak vitamin, sesuatu yang di luar kemampuan keluarga itu. Mereka tinggal di satu daripada kawasan paling pedalaman di Filipina. Bandar paling dekat terletak kira-kira sejam perjalanan sementara Manila, ibu negara Filipina terletak kira-kira 912 kilometer dari tempat mereka.

Bapa Junrey, Reynaldo, 37, adalah tukang besi di bandar dan hanya kembali ke rumah pada hujung minggu kerana kesukaran berulang-alik. Ketika adik-adiknya, Jaycel, 13, Jay-art, 11, dan Jeanritch, enam, ke sekolah, Junrey hanya tinggal di rumah bersama ibunya.

“Saya gembira jika dapat bekerja ketika anak saya ke sekolah. Namun saya tidak boleh meninggalkan Junrey bersendirian. Dia memerlukan tumpuan saya setiap minit. Dia hanya boleh berjalan dengan bantuan orang dan tidak boleh berdiri begitu lama. Setiap kali saya memberitahunya bahawa dia lelaki paling kecil di dunia, dia akan tersenyum bangga,” kata Concepcion.

Berdasarkan buku Rekod Guinness, lelaki paling kecil di dunia ketika ini ialah Niqo Hernandez dari Colombia yang setinggi 268.8 sentimeter.


Sumber gambar: DamnCoolPics

*********************************************************************************


Sukan Futsal BERBAHAYA?


Menurut Pakar Perunding Ortopedik/Trauma, Artroskopi dan Kecederaan Sukan, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Petaling Jaya, Selangor, Dr. Bazam Abdul Rani, kecederaan akibat bersukan biasanya melibatkan dua jenis kecederaan.


Yang pertama, kecederaan akibat persentuhan badan seperti pelanggaran dan pertembungan. Kecederaan yang kedua melibatkan bukan persentuhan badan seperti paha, sendi buku lali, sendi lutut, kepala, leher dan lengan.


Tambah Dr. Bazam, kebanyakan kecederaan yang dialami adalah ringan sahaja seperti kekoyakan ligamen buku lali yang separa (partial tear), abrasi, luka yang tidak dalam dan lebam.


Kecederaan serius yang boleh dialami mungkin melibatkan kepatahan tulang, sendi lutut dan buku lali terkehel, tulang yang patah, kekoyakan ligamen lutut yang mengakibatkan ketidakstabilan sendi.



Faktor kecederaan


Bagi Dr. Bazam, sukan futsal mempunyai kebaikan dan keseronokan tersendiri tetapi bahaya untuk pemain.


“Futsal berbahaya kepada pemain kerana ia berbeza daripada perlawanan bola sepak yang mempunyai undang-undang yang lengkap. Pemain futsal juga mudah melakukan aktiviti dan perbuatan kasar seperti menggelongsor dan menghalang kaki lawan. Selain itu, pemain mengawal bola lebih kasar berbanding perlawanan bola sepak biasa. Kecederaan mungkin dapat dikurangkan sekiranya undang-undang futsal tidak membenarkan sentuhan fizikal antara pemain secara berlebihan,” ujar beliau.


Dr. Bazam menjelaskan, keadaan padang permainan futsal juga boleh menyebabkan kecederaan kepada pemain. Saiz padang yang kecil dengan aksi permainan futsal yang pantas menyebabkan pemain hilang kawalan.


Padang tiruan daripada getah atau permukaan yang kasar dan melekat tidak mengehadkan pergerakan pemain dan mudah terseliuh. Apabila pemain jatuh di atas permukaan tiruan yang licin, mereka tidak sempat mengawal pergerakan badan apabila terjatuh.


Dalam pada itu, saiz kumpulan pemain futsal yang kecil dengan tempoh masa bermain yang panjang mengurangkan stamina pemain tersebut. Ini menyebabkan mereka cepat berasa letih dan hilang kawalan pergerakan badan.


Sebagai pemain, memakai kasut tanpa merujuk jenis padang permainan boleh menjadi faktor kecederaan. Umum sedia maklum, futsal merupakan permainan dan hiburan hujung minggu. Jika seseorang pemain tidak menyiapkan diri dari segi ketahanan fizikal, mereka mudah cedera.


“Jika pemain tidak melengkapkan diri, otot dan stamina mereka belum cukup kuat digunakan untuk bermain futsal. Tanpa rehat yang cukup mustahil mereka mampu berdepan dengan perlawanan yang agresif dan cepat seperti futsal. Pemain yang tidak melakukan senaman ringan sebelum memulakan perlawanan juga berdepan dengan risiko kecederaan lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak berpakaian sukan futsal yang lengkap,” katanya.


Menurut Dr. Bazam lagi, ramai pemain yang cedera mempunyai sejarah kecederaan akibat permainan sukan yang mereka ceburi sebelum ini. Kecederaan berulang ini menjadi risiko yang paling lazim dan tinggi.



**********************************************************************************



Ibu RACUN 2 anak?

KAJANG: Tragis apabila dua beradik maut selepas dipaksa minum susu dicampur racun oleh ibu kandung di rumah mereka di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, di sini, kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mayat dua beradik terbabit, Rashmeka, 4, dan Neeharika Laxmi Sivarajah, 12 bulan, ditemui bergelimpangan dengan mulut berbuih dalam sebuah bilik.


Difahamkan, selepas meracun kedua-dua anaknya, wanita berusia 30 tahun terbabit meminum racun dan kini dilaporkan kritikal di Hospital Serdang. Pemangku Ketua Polis Kajang, Superintendan Azman Ayob, berkata ketika kejadian, ibu bapa mentua wanita terbabit berada di rumah berkenaan.


“Kejadian itu disedari ibu mentua mangsa yang hairan apabila menantunya tidak membuka pintu bilik walaupun diketuk berkali-kali. Bimbang keadaan itu, mentuanya menghubungi suami wanita terbabit,” katanya pada sidang media di sini, semalam.


Menurutnya, sebaik suami wanita itu tiba rumah, dia menyuruh isterinya yang pernah mengalami masalah mental membuka pintu, tetapi tidak berjawab. “Dengan menggunakan kunci pendua, suami wanita itu membuka pintu bilik berkenaan sebelum terkejut apabila melihat isteri dan dua anaknya bergelimpangan dengan mulut berbuih,” katanya.


Azman berkata, suami wanita berusia 33 tahun itu membawa semua mereka ke hospital sebelum pakar mengesahkan kedua-dua anaknya sudah meninggal dunia. “Bagaimanapun, isterinya masih kritikal di Hospital Serdang. Hasil siasatan, polis mendapati ibu kanak-kanak itu pernah menerima rawatan psikiatri dan pernah cuba membunuh diri pada 2006,” katanya.


“Polis masih menyiasat kes berkenaan secara terperinci dan mengenal pasti motif wanita terbabit membunuh kedua-dua anaknya, namun saya tidak menolak kemungkinan dia mempunyai masalah mental,” katanya.


Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Suami mangsa yang juga seorang tukang gunting bagaimanapun enggan ditemubual kerana masih bersedih ketika wartawan Harian Metro berkunjung ke rumahnya, semalam. Bagaimanapun, seorang ahli keluarga lelaki itu mengesahkan wanita terbabit mempunyai sejarah mental sejak kecil dan bergantung kepada ubat.


“Ini perkahwinan kedua wanita itu, sebelum ini dia tidak mempunyai apa-apa masalah dengan suami pertamanya dan kami kesal kenapa dia sanggup membunuh kedua-dua anaknya kerana mereka masih kecil,” katanya.


Sementara itu, jiran mangsa yang enggan dikenali mendakwa wanita terbabit tidak mengalami sebarang masalah, malah dia tidak pernah mendengar sebarang pertengkaran antara mereka suami isteri.


“Kami terkejut apabila dimaklumkan seorang jiran lain wanita terbabit membunuh anaknya dengan memasukkan racun dalam botol susu mereka,” katanya.


Sumber: Harian Metro


**************************************************************






PERISTIWA Israk dan Mikraj merupakan perjalanan dan mukjizat agung yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia yang paling layak dan teragung, Rasulullah SAW.

Dalam perjalanan tersebut diperlihatkan kepada Baginda SAW pelbagai gambaran dan pemandangan dari alam penuh rahsia yang kesemuanya itu mengandungi pelbagai hikmah dan hakikat yang akhirnya bersangkut paut dengan apa yang berlaku di alam zahir ini dari urusan dan kehidupan para hamba.

Peristiwa Israk dan Mikraj penting untuk dihayati terutamanya manusia zaman kini yang semakin jauh dari dapat menyelami hikmah-hikmah Ilahi. Sesungguhnya Israk dan Mikraj menyimpan pelbagai rahsia dan membongkar pelbagai pengajaran, peringatan dan kelebihan terutamanya kedudukan Rasulullah SAW yang istimewa di sisi-Nya.

Pengajaran Tentang Solat
Antara pengajaran terpenting yang diperolehi daripada perjalanan Israk dan Mikraj ialah tentang solat. Di antara kefarduan solat dan mukjizat Israk dan Mikraj, terdapat hubung kait yang begitu mendalam dan erat, sehingga munasabahlah dinamakan solat itu sebagai al Mikraj al Ruhi.

Apabila Mikraj Nabi kita SAW dengan jasad dan rohnya ke langit sebagai suatu mukjizat, maka Allah SWT menjadikan bagi umat Muhammad SAW Mikraj Roh pada setiap hari sebanyak lima kali. Di mana roh dan hati mereka pergi menemui Allah bagi memastikan mereka bebas dari kekangan hawa nafsu dan menyaksikan keagungan Allah, kekuasaan serta keesaan-Nya, sehingga mereka menjadi orang yang mulia di atas permukaan bumi ini.

Kemuliaan yang diperolehi bukan dengan jalan penindasan, kekuatan dan kemenangan, tetapi dengan jalan kebaikan dan ketinggian, jalan kesucian dan kemuliaan serta jalan solat.

Tidaklah solat itu sekadar robot atau pergerakan alat-alat yang tidak mempunyai makna, tetapi ia adalah sebuah madrasah yang mendidik kaum mukminin atas semulia-mulia makna kebaikan, kecintaan dan kemuliaan dalam menempuh kesesakan hidup, hiruk-pikuk dan kejahatannya.

Solat merupakan sebesar-besar amalan dalam Islam. Sesiapa yang memeliharanya, maka dia akan memperolehi kebahagiaan dan keuntungan. Sesiapa yang meninggalkannya, maka dia akan memperolehi kecelakaan dan kerugian.

Allah SWT telah memfardukan solat ke atas hamba-hamba-Nya yang beriman supaya ia menjadi penghubung dengan hadrat-Nya, peringatan tentang keagungan-Nya dan tanda kesyukuran hamba-Nya atas nikmat yang dicurahkan-Nya.

Ia merupakan asas bagi mencapai kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Sabda Rasulullah SAW: "Amalan pertama yang dihisab bagi hamba pada hari kiamat adalah solat. Sekiranya solatnya itu baik, maka baiklah segala amalannya. Sekiranya solatnya itu rosak, maka rosaklah segala amalannya yang lain". (Diriwayatkan oleh al Tabrani di dalamal Awsot juga disebut di dalam Majma' al Zawaid (1/291)).

Tidak menjadi suatu perkara yang pelik apabila solat dijadikan sebagai kepala amalan. Sesungguhnya dengan melazimkan diri menunaikan solat secara sempurna dengan khusyuk dan khudhu' kepada Allah, akan menanam di dalam jiwa sifatmuraqabah kepada-Nya.

Sesiapa yang telah mencapai muraqabatullah, akan berasa takut kepada-Nya, bertakwa kepada-Nya, menunaikan perkara yang menjurus kepada keredaan-Nya, berkata benar apabila berbicara, menunaikan janji apabila berjanji, menunaikan amanah, bersabar ketika ditimpa kecelakaan dan bersyukur dengan nikmat-Nya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Maarij ayat 19 hingga 23: Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila dia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah. Dan apabila dia beroleh kesenangan, dia sangat bakhil kedekut; kecuali orang-orang yang mengerjakan solat. Iaitu mereka yang tetap mengerjakan solatnya.

Seorang hamba yang memelihara solatnya dengan sempurna, tidak akan terleka daripada muraqabatullah dalam kesibukan dan urusan sehariannya. Sesungguhnya sesiapa yang memelihara solatnya dengan menunaikannya dengan khusyuk, akan diampunkan dosanya dan dikasihi oleh Tuhannya.

Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya setiap solat itu menghapuskan kesalahan yang dilakukan di hadapannya". (riwayat Imam Ahmad dan al Tabrani).

Sabda Baginda SAW lagi: "Sesiapa mengetahui bahawa solat itu adalah hak yang wajib, maka dia masuk syurga". Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, al Baihaqi dan al Hakim).

Sesiapa yang tidak memelihara solatnya, maka dia diharamkan di dunia daripada memperolehi nikmat keberkatan, taufik dan kebaikan serta akan diazab selepas kematiannya dengan dihentakkan kepalanya ke batu.

Setiap kali kepalanya itu pecah, akan dikembalikan seperti keadaan asalnya. Dia juga akan datang pada hari kiamat tanpa cahaya, petunjuk keimanan dan diharamkan terselamat dari azab, kehinaan dan kerendahan.

Wahai kaum Muslimin! Bertakwalah kalian kepada Allah dan peliharalah solat serta tunaikanlah kerana Allah pada waktunya dengan khusyuk. Tiada yang menghalang kalian untuk menunaikannya walaupun disebabkan kesejukan dan juga pekerjaan.

Bermujahadahlah sehingga kalian tidak mengabaikan menunaikan solat Subuh pada waktunya tatkala kalian berseronok menikmati kelazatan tidur dan ketika malas. Begitu juga bermujahadahlah sehingga kalian tidak lalai menunaikan solat Asar kerana terlalu sibuk mendahulukan pekerjaan.

Berhati-hatilah kalian agar harta, perniagaan, kemegahan, takhta, pemerintahan dan kementerian tidak menyibukkan kalian dari menunaikan solat.

Jadilah kalian dari kalangan mereka yang tergolong dalam firman Allah SWT yang maksud-Nya: (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan solat serta memberi zakat; mereka takutkan hari (Kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan. (Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan menambahi mereka lagi dari limpah kurnia-Nya; dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terhitung. (al-Nur: 37 dan 38)
Semoga kita digolongkan di kalangan orang-orang yang celik mata hati sehingga kita dapat menghayati hikmah dan pengajaran di sebalik peristiwa agung, Israk dan Mikraj.